Ungkapan “hadis lemah boleh diamalkan dalam “Fadha’il A`mal” sangat masyhur dinukilkan daripada tokoh-tokoh hadis dan fiqh. Perbahasan tentang HUKUM BERAMAL dengan hadis lemah dalam fadha’il a`mal selalu dibincang oleh para pengkaji hadis dan fiqh hadis. Tulisan ini bukan ingin membahaskan perbezaan pendapat ulama dalam isu ini, tetapi focus tulisan ialah maksud ungkapan “fadha’il a`mal. Adakah ia bermaksud “kelebihan-kelebihan amalan”? Atau bermaksud “amalan-amalan yang digalakkan / amalan-amalan sunat? Atau kedua-duanya sekali? Jika ia bermaksud “kelebihan-kelebihan amalan” maka ia bererti bahawa hadis yang lemah boleh dipakai untuk menjelaskan lagi kelebihan bagi amalan-amalan yang telah sabit galakkannya atau telah sabit hokum sunatnya berdasarkan hadis yang sahih. Jika ia bermaksud “amalan-amalan yang sunat” maka ia bererti bahawa hadis yang lemah boleh diamalkan dalam menentukan hokum sunat sesuatu amalan. Tulisan dan praktik beberapa tokoh fiqh menunjukkan bahawa mereka merujuk kepada maksud pertama dan kedua sekaligus. Ini dapat dilihat dalam tulisan Ibn al-Humam dalam Fath al-Qadir: “Hukum sunat sabit dengan hadis yang lemah yang bukannya palsu.” (hlm 7-8, Cetakan Bulaq 1315) Fuqaha mazhab Syafie menghukumkan makruh menggunakan air musyammas dan sunat meninggalkannya dengan berhujah dengan hadis daripada `Aisyah yang lemah. Nawawi menyebut dalam al-Azkar: “sepertimana tersebut hadis lemah menjelaskan makruhnya beberapa jual-beli dan pernikahan, maka yang sunat ialah membebaskan diri daripadanya.” (al-Azkar, hlm. 7-8, cetakan Mustafa al-Halabi 1371) Justeru itu juga ulama yang mengharuskan beramal dengan hadis lemah meletakkan tiga syarat salah satunya ialah: ia termasuk di bawah lingkungan sumber yang telah diamalkan (يندرج تحت أصل معمول به). Oleh itu maksud ungkapan para ulama yang mengharuskan beramal dengan hadis lemah dalam menentukan”FADHA’IL A`MAL” ialah “sekiranya tidak sabit sunatnya sesuatu amalan atau harusnya sesuatu amalan SECARA KHUSUS dengan HADIS YANG SAHIH, sedangkan dalam masa yang sama terdapat hadis lemah yang tidak terlalu lemah, MAKA HOKUM SUNATNYA ATAU KEHARUSANNYA ADALAH SABIT, dengan syarat ia termasuk di bawah SATU SUMBER SYAR`IE YANG UMUM dan juga tidak bercanggah dengan SUMBER-SUMBER syara’ dan dalil-dalil yang sahih. |