Menurut Ibn Rajab al-Hanbali dalam Lata'if al-Ma`arif, para tokoh mazhab yang empat telah menegaskan bahawa menuntut ilmu adalah lebih afdhal daripada solat sunat. Solat sunat pula lebih afdhal daripada puasa sunat. Justeru ilmu adalah lebih afdhal daripada puasa. Ini kerana ilmu menjadi pelita yang boleh menyuluh kegelapan kejahilan. sesiapa yang berjalan tanpa suluhan cahaya tidak akan selamat daripada mara bahaya seperti terjatuh dalam telaga yang dalam. (Ibn Rajab, Lataif Ma`arif, suntingan `Abdullah bin `Amir, Dar al-Hadith, Kaherah, cet 2002, hlm 174).
Kekadang berlaku di surau masjid beberapa orang tua yang kemaruk dengan ibadah kononnya sibuk melakukan solat sunat dan membaca al-Qur'an di antara waktu maghrib dan isya' sedangkan di kala itu seorang guru agama sedang menyampaikan kuliahnya. Bagi orang-orang tua ini membaca al-Qur'an dan solat sunat lebih baik berbanding mendengar ilmu yang disampaikan oleh guru ini. Juga berlaku di banyak surau dan masjid yang tidak bersedia memberikan laluan untuk kuliah ilmu di malam Jumaat dengan hujah "malam jumaat untuk membaca Yasin". Ada 3 perkara yang perlu diperhatikan di sini: 1. Senario ini menggambarkan mereka tidak faham bahawa mendengar ilmu lebih baik berbanding membaca al-Qur'an. 2. Membaca al-Qur'an termasuk surah yasin adalah sunat namun ia boleh dilakukan sendiri di rumah atau pada waktu-waktu lain seperti selepas solat isya'. Tetapi kuliah ilmu selalunya hanya berlaku di masjid di waktu maghrib. Itulah waktu para ustaz lebih berkelapangan. sekiranya bertembung antara keperluan ilmu dan keperluan baca Yasin, sewajarnya ilmu diberi laluan. 3. Membaca yasin pada malam Jumaat berlaku kerana kepercayaan bahawa malam tersebut adalah malam yang sunat untuk membaca Yasin. Sebenarnya kelebihan membaca yasin pada malam Jumaat tidak sabit dalam hadis yang sahih. Ungkapan yang selalu dibuat hujah ialah ungkapan من قرأ سورة يس ليلة الجمعة أصبح مغفورا له
Bermaksud: sesiapa yang membaca Yasin pada malam Jumaat akan diampunkan dosanya." Ini bukan merupakan hadis nabi. Ia adalah hadis palsu. Namun Imam Qurtubi telah menyebutnya sebagai hadis ketika beliau mentafsirkan surah Yasin. Barangkali kerana itu ia diamalkan secara meluas oleh umat Islam di Asia Tenggara. Membaca yasin pada malam Jumaat tidak salah bahkan mendatangkan pahalanya kerana membaca al-Qur'an dan surah apa pun sememangnya disunatkan apatah lagi pada malam Jumaat yang ada kelebihannya sebagai hari terbaik dalam seminggu. Namun iktikad khusus bahawa sunat membaca Yasin malam Jumaat adalah tidak tepat kerana tiada hadis sahih menjelaskan kelebihannya. Yang ada ialah kelebihan membaca surah al-Kahfi pada malam Jumaat. Sabda Rasulullah saw: من قرأ سورة ( الكهف ) ليلة الجمعة، أضاء له من النور ما بينه وبين البيت العتيق maksudnya: "sesiapa yang membaca surah Kahfi pada malam Jumaat diterangkan untuknya daripada cahaya apa yang ada di antaranya dan Bait `Atiq (Kaabah)." (Hadis dinilai Sahih oleh al-Albani. JUsteru tiada kewajarannya untuk mempertahankan bacaan Yasin pada malam Jumaat untuk tidak memberi laluan kepada majlis ilmu.
|